Saturday 14 February 2015

Perginya Seorang Ulama

Tanggal 12 Februari 2015 bersamaan 22 Rabiulakhir 1436 perginya seorang ulama tersohor bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Siapa tidak mengenali Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat yang telah kembali ke rahmatullah pada hari khamis malam Jumaat pada pukul 9.45 malam di Pulau Melaka. Beruntungnya beliau kerana menghembuskan nafas terakhir pada malam jumaat. 

" Tidak ada seorang muslim pun yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat kecuali Allah akan menjaganya dari fitnah kubur". (HR.Ahmad No.6582 & At-Tirmidzi No.1074)

Ya Allah beruntungnya Allahyarham. Aku begitu cemburu pada beliau kerana meninggal pada malam Jumaat. Saat aku menerima berita pemergiaan beliau hati aku menjadi hiba kerana seorang ulama yang kita kenali telah kembali ke rahmatullah. 

Aku bukannya taksub pada beliau tapi aku hormati beliau sebagai seorang ulama yang terkenal. Pada tengahari Jumaat semasa masing-masing pergi menunaikan solat Jumaat, aku lihat ada sesetengah jemaah bermuka sedih dan hiba. Termasuklah aku juga. Sedih perginya seorang ulama. 

Semasa hari-hari pengebumian beliau, segerombolan lautan manusia mengiringi beliau ke tanah perkuburan. Ya Allah, aku begitu kagum dengan keadaan di Kelantan. Sepertinya aku ingin menetap di sana. 




Semasa dalam perjalanan balik dari kerja, aku mendengar komen dari seorang tetamu khas di Radio Bernama 24 menceritakan begini lebih kurang: Ramai orang merasa pelik kenapa dia tidak mengambil air wudhuk ketika masuk ke masjid seterusnya terus melakukan solat. Rupa-rupanya dia sentiasa menjaga air wudhuk. Jika sudah terbatal, beliau akan mengambil air wudhuk semula. Maknanya kemana-mana dia pergi beliau sentiasa berada dalam keadaan berwuduk. Itu adalah amalan beliau. 

Aku merasa kagum dengan amalan beliau berbanding aku yang masih ada kekurangan ilmu agama Islam. Kemungkinan aku akan cuba mengamalkannya. Insyaallah. 

Semua orang mengenali beliau sebagai seorang yang zuhud. Semasa beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, beliau hanya duduk di rumah sendiri yang berpapan dan beratapkan zink. Jika dibandingkan dengan menteri besar di negeri lain, rumah mereka agak mewah, kereta mewah dan berbagai lagi mewahnya. Pabila ada gambar beliau makan hanya duduk di lantai, ramai yang mengata bahawa itu strategi nak meraih simpati orang ramai agar mengundi parti PAS dan ada juga yang mengata bahawa itu adalah menunjuk-nunjuk. 


Aku bukan taksub pada beliau cuma aku mengagumi keperibadian beliau. Ada korang nampak seorang menteri seperti beliau? Ada korang nampak pemimpin begitu zuhud seperti beliau? Rasanya agak kurang jumpa pemimpin begitu.


Semoga Tuan Guru ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan semoga roh dicucuri rahmat.

No comments:

Post a Comment