Saturday, 23 May 2026

Perjalanan Aku Selesaikan Hutang Dengan Teknik Snowball

Perjalanan saya menyelesaikan hutang menggunakan Teknik Snowball bermula apabila saya menyedari bahawa saya mempunyai tiga komitmen hutang utama:

  • Hutang motosikal — bayaran bulanan RM184 (saya genapkan kepada RM200), baki sekitar RM4,000
  • Hutang kereta — potongan gaji RM401 sebulan, baki sekitar RM12,000
  • Hutang PTPTN — potongan gaji RM200 sebulan, baki sekitar RM12,000

Saya memilih untuk menggunakan Teknik Snowball, iaitu menyusun hutang daripada jumlah baki paling rendah kepada paling tinggi. Fokus utama saya adalah menyelesaikan satu hutang terlebih dahulu sebelum beralih kepada hutang seterusnya.

Langkah pertama saya ialah memberi tumpuan kepada hutang motosikal kerana baki hutangnya paling rendah. Walaupun bayaran asal hanya RM200 sebulan, saya menambah RM150 lagi setiap bulan menjadikan jumlah bayaran RM350 sebulan. Dengan konsisten membuat bayaran tambahan, hutang motosikal akhirnya berjaya diselesaikan lebih awal.

Saat menerima geran motosikal selepas hutang selesai benar-benar memberi rasa lega dan puas. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan perjalanan kewangan ini.

Selepas hutang motosikal selesai, saya beralih pula kepada hutang kedua terendah iaitu PTPTN. Saya menggunakan semula jumlah RM350 yang sebelum ini digunakan untuk motosikal dan  RM200 untuk hutang hakiki PTPTN, menjadikan bayaran bulanan PTPTN sebanyak RM550.

Sepanjang proses membayar PTPTN, saya kerap menyemak baki pinjaman melalui laman web PTPTN. Setiap kali melihat baki semakin berkurang, motivasi saya semakin meningkat untuk cepat menyelesaikannya. Sehinggalah pada hari terakhir pembayaran, saya sendiri menghantar emel kepada pegawai PTPTN untuk mendapatkan pengesahan bahawa pinjaman benar-benar telah selesai.

Selepas PTPTN berjaya dilangsaikan, saya memberi fokus sepenuhnya kepada hutang kereta. Saya menggunakan lebihan RM550 tadi dan hutang hakiki kereta iaitu RM400, menjadikan jumlah bayaran hutang kereta sebanyak RM950 sebulan.

Akhirnya, hutang kereta juga berjaya diselesaikan. Saya pergi sendiri ke Ambank untuk mendapatkan geran kereta dan menukar hak milik kepada nama saya di JPJ. Perasaan ketika itu memang sukar digambarkan — satu perasaan lega kerana akhirnya bebas daripada komitmen hutang besar.

Bila semua hutang tersebut selesai, slip gaji saya juga kelihatan jauh lebih baik tanpa terlalu banyak potongan bulanan. Dari situ saya sedar bahawa Teknik Snowball bukan sekadar membantu menyelesaikan hutang, tetapi juga memberi motivasi melalui kemenangan-kemenangan kecil sepanjang perjalanan.

Sebenarnya saya masih mempunyai satu lagi komitmen iaitu personal loan sebanyak RM375 sebulan. Namun saya sengaja tidak memasukkannya dalam pelan ini kerana mahu fokus kepada tiga hutang utama terlebih dahulu. Selepas melihat hasilnya, saya mula rasa lebih yakin untuk meneruskan langkah seterusnya mengikut keadaan kewangan semasa.

Itulah perjalanan saya menyelesaikan hutang menggunakan Teknik Snowball — perlahan tetapi konsisten, dan akhirnya berjaya mencapai kebebasan kewangan sedikit demi sedikit.


Saturday, 9 May 2026

Jumaat Terakhir di Surau Kolej Matrikulasi Selangor

Sedih jugak rasa hati bila dapat tahu isteri akan bertukar ke tempat lain. 1 Mei 2026 adalah hari terakhir aku solat jumaat di Surau Kolej Matrikulasi Selangor. Selepas ini mungkin jarang dah solat di sini. 

Anak aku si Tuah ni pulak bagitau boleh je solat kat surau sini. Katanya dia nampak ada orang dari luar masuk solat jumaat di sini.

Aku pun bagitaulah dia. Ya memang lah ada tetapi kita ni mungkin solat jumaat di masjid di Kampung Endah. Jaranglah akan solat jumaat di situ. 





Insyaallah jika aku ada kelapangan mungkin aku akan masuk ke sini bagi menunaikan solat jumaat. 

Monday, 26 January 2026

Si Kucing Bernama Stoking

Pada hari semalam aku hantar anak aku untuk latihan bola sepak Soccer Ace di padang SK Jugra. Nak dijadikan cerita, aku ternampak seekor anak kucing bertenggek di atas paip air yang besar tu.  Kucing tu tak berhenti-henti mengiau. Aku pun pergilah ambil dia. Warna bulunya hitam putih. Di kakinya pula warna bulunya putih seumpama dipakaikan stoking. Tengok badannya agak berisi. Gemuk jugak kucing ni.

Aku ada ternampak pondok pengawal sekolah dan bertanya tentang kepunyaan kucing ini. Mereka kata bukan kucing kawasan sekolah. Mereka kata ada orang buang kucing kat situ. Apa punya lah tak ada otak agaknya orang yang buang anak kucing ni. Ada ke patut buang kat tepi jalan raya besar. Kalau kena gilis dengan lori, mau mati macam tu je. Patutnya buanglah kat tepi kedai makan ke, kat pasar pagi ke. Ulas aku dengan geram. 

Jadi aku ambil keputusan untuk bawa balik ke rumah. Comel kucingnya. 

Ini rupa beliau

Di kakinya dan tangannya seperti dipakaikan stoking

Bila sampai je ke rumah, anak-anak aku suka pula kucing ni. Ketiga-tiga anak aku berkerumun ke kucing ini. Tetapi aku agak susah sikit  nak bela kucing di rumah kuarters kerajaan. Dahlah rumah tingkat 2. Lagipun jika kami pergi bercuti ke, takkan nak tinggalkan kucing ni di rumah. Jadi aku pun ambil keputusan untuk serahkan ke kakak ipar aku untuk dia bela. 

Kelibat anak aku suka dengan kucing ni

Sampai je ke rumah akak ipar aku, anak buah isteri aku ni berminat pula dengan kucing ni. Jadi aku serahkanlah kepada dia untuk dia bela. Lain ceritanya pula anak perempuan aku ni. Dia menangis pula sebab kucing tu diserahkan kepada anak buah isteri aku. 

Ah sudah jadi serba salah pulak aku. haha..

Dia jadi sedih sebab kucing tu diserahkan kepada anak buah isteri aku dan dia akan berjauhan dengan kucing ni. Anak-anak aku ni memang suka dengan kucing. 

Aku pun pujuklah alah nanti kita tengoklah kucing ni nanti ye. 

Harap dia oklah.