Saturday, 23 May 2026

Perjalanan Aku Selesaikan Hutang Dengan Teknik Snowball

Perjalanan saya menyelesaikan hutang menggunakan Teknik Snowball bermula apabila saya menyedari bahawa saya mempunyai tiga komitmen hutang utama:

  • Hutang motosikal — bayaran bulanan RM184 (saya genapkan kepada RM200), baki sekitar RM4,000
  • Hutang kereta — potongan gaji RM401 sebulan, baki sekitar RM12,000
  • Hutang PTPTN — potongan gaji RM200 sebulan, baki sekitar RM12,000

Saya memilih untuk menggunakan Teknik Snowball, iaitu menyusun hutang daripada jumlah baki paling rendah kepada paling tinggi. Fokus utama saya adalah menyelesaikan satu hutang terlebih dahulu sebelum beralih kepada hutang seterusnya.

Langkah pertama saya ialah memberi tumpuan kepada hutang motosikal kerana baki hutangnya paling rendah. Walaupun bayaran asal hanya RM200 sebulan, saya menambah RM150 lagi setiap bulan menjadikan jumlah bayaran RM350 sebulan. Dengan konsisten membuat bayaran tambahan, hutang motosikal akhirnya berjaya diselesaikan lebih awal.

Saat menerima geran motosikal selepas hutang selesai benar-benar memberi rasa lega dan puas. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan perjalanan kewangan ini.

Selepas hutang motosikal selesai, saya beralih pula kepada hutang kedua terendah iaitu PTPTN. Saya menggunakan semula jumlah RM350 yang sebelum ini digunakan untuk motosikal dan  RM200 untuk hutang hakiki PTPTN, menjadikan bayaran bulanan PTPTN sebanyak RM550.

Sepanjang proses membayar PTPTN, saya kerap menyemak baki pinjaman melalui laman web PTPTN. Setiap kali melihat baki semakin berkurang, motivasi saya semakin meningkat untuk cepat menyelesaikannya. Sehinggalah pada hari terakhir pembayaran, saya sendiri menghantar emel kepada pegawai PTPTN untuk mendapatkan pengesahan bahawa pinjaman benar-benar telah selesai.

Selepas PTPTN berjaya dilangsaikan, saya memberi fokus sepenuhnya kepada hutang kereta. Saya menggunakan lebihan RM550 tadi dan hutang hakiki kereta iaitu RM400, menjadikan jumlah bayaran hutang kereta sebanyak RM950 sebulan.

Akhirnya, hutang kereta juga berjaya diselesaikan. Saya pergi sendiri ke Ambank untuk mendapatkan geran kereta dan menukar hak milik kepada nama saya di JPJ. Perasaan ketika itu memang sukar digambarkan — satu perasaan lega kerana akhirnya bebas daripada komitmen hutang besar.

Bila semua hutang tersebut selesai, slip gaji saya juga kelihatan jauh lebih baik tanpa terlalu banyak potongan bulanan. Dari situ saya sedar bahawa Teknik Snowball bukan sekadar membantu menyelesaikan hutang, tetapi juga memberi motivasi melalui kemenangan-kemenangan kecil sepanjang perjalanan.

Sebenarnya saya masih mempunyai satu lagi komitmen iaitu personal loan sebanyak RM375 sebulan. Namun saya sengaja tidak memasukkannya dalam pelan ini kerana mahu fokus kepada tiga hutang utama terlebih dahulu. Selepas melihat hasilnya, saya mula rasa lebih yakin untuk meneruskan langkah seterusnya mengikut keadaan kewangan semasa.

Itulah perjalanan saya menyelesaikan hutang menggunakan Teknik Snowball — perlahan tetapi konsisten, dan akhirnya berjaya mencapai kebebasan kewangan sedikit demi sedikit.


No comments:

Post a Comment