Saturday, 23 May 2026

Perjalanan Aku Selesaikan Hutang Dengan Teknik Snowball

Perjalanan saya menyelesaikan hutang menggunakan Teknik Snowball bermula apabila saya menyedari bahawa saya mempunyai tiga komitmen hutang utama:

  • Hutang motosikal — bayaran bulanan RM184 (saya genapkan kepada RM200), baki sekitar RM4,000
  • Hutang kereta — potongan gaji RM401 sebulan, baki sekitar RM12,000
  • Hutang PTPTN — potongan gaji RM200 sebulan, baki sekitar RM12,000

Saya memilih untuk menggunakan Teknik Snowball, iaitu menyusun hutang daripada jumlah baki paling rendah kepada paling tinggi. Fokus utama saya adalah menyelesaikan satu hutang terlebih dahulu sebelum beralih kepada hutang seterusnya.

Langkah pertama saya ialah memberi tumpuan kepada hutang motosikal kerana baki hutangnya paling rendah. Walaupun bayaran asal hanya RM200 sebulan, saya menambah RM150 lagi setiap bulan menjadikan jumlah bayaran RM350 sebulan. Dengan konsisten membuat bayaran tambahan, hutang motosikal akhirnya berjaya diselesaikan lebih awal.

Saat menerima geran motosikal selepas hutang selesai benar-benar memberi rasa lega dan puas. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan perjalanan kewangan ini.

Selepas hutang motosikal selesai, saya beralih pula kepada hutang kedua terendah iaitu PTPTN. Saya menggunakan semula jumlah RM350 yang sebelum ini digunakan untuk motosikal dan  RM200 untuk hutang hakiki PTPTN, menjadikan bayaran bulanan PTPTN sebanyak RM550.

Sepanjang proses membayar PTPTN, saya kerap menyemak baki pinjaman melalui laman web PTPTN. Setiap kali melihat baki semakin berkurang, motivasi saya semakin meningkat untuk cepat menyelesaikannya. Sehinggalah pada hari terakhir pembayaran, saya sendiri menghantar emel kepada pegawai PTPTN untuk mendapatkan pengesahan bahawa pinjaman benar-benar telah selesai.

Selepas PTPTN berjaya dilangsaikan, saya memberi fokus sepenuhnya kepada hutang kereta. Saya menggunakan lebihan RM550 tadi dan hutang hakiki kereta iaitu RM400, menjadikan jumlah bayaran hutang kereta sebanyak RM950 sebulan.

Akhirnya, hutang kereta juga berjaya diselesaikan. Saya pergi sendiri ke Ambank untuk mendapatkan geran kereta dan menukar hak milik kepada nama saya di JPJ. Perasaan ketika itu memang sukar digambarkan — satu perasaan lega kerana akhirnya bebas daripada komitmen hutang besar.

Bila semua hutang tersebut selesai, slip gaji saya juga kelihatan jauh lebih baik tanpa terlalu banyak potongan bulanan. Dari situ saya sedar bahawa Teknik Snowball bukan sekadar membantu menyelesaikan hutang, tetapi juga memberi motivasi melalui kemenangan-kemenangan kecil sepanjang perjalanan.

Sebenarnya saya masih mempunyai satu lagi komitmen iaitu personal loan sebanyak RM375 sebulan. Namun saya sengaja tidak memasukkannya dalam pelan ini kerana mahu fokus kepada tiga hutang utama terlebih dahulu. Selepas melihat hasilnya, saya mula rasa lebih yakin untuk meneruskan langkah seterusnya mengikut keadaan kewangan semasa.

Itulah perjalanan saya menyelesaikan hutang menggunakan Teknik Snowball — perlahan tetapi konsisten, dan akhirnya berjaya mencapai kebebasan kewangan sedikit demi sedikit.


Saturday, 9 May 2026

Jumaat Terakhir di Surau Kolej Matrikulasi Selangor

Sedih jugak rasa hati bila dapat tahu isteri akan bertukar ke tempat lain. 1 Mei 2026 adalah hari terakhir aku solat jumaat di Surau Kolej Matrikulasi Selangor. Selepas ini mungkin jarang dah solat di sini. 

Anak aku si Tuah ni pulak bagitau boleh je solat kat surau sini. Katanya dia nampak ada orang dari luar masuk solat jumaat di sini.

Aku pun bagitaulah dia. Ya memang lah ada tetapi kita ni mungkin solat jumaat di masjid di Kampung Endah. Jaranglah akan solat jumaat di situ. 





Insyaallah jika aku ada kelapangan mungkin aku akan masuk ke sini bagi menunaikan solat jumaat. 

Monday, 26 January 2026

Si Kucing Bernama Stoking

Pada hari semalam aku hantar anak aku untuk latihan bola sepak Soccer Ace di padang SK Jugra. Nak dijadikan cerita, aku ternampak seekor anak kucing bertenggek di atas paip air yang besar tu.  Kucing tu tak berhenti-henti mengiau. Aku pun pergilah ambil dia. Warna bulunya hitam putih. Di kakinya pula warna bulunya putih seumpama dipakaikan stoking. Tengok badannya agak berisi. Gemuk jugak kucing ni.

Aku ada ternampak pondok pengawal sekolah dan bertanya tentang kepunyaan kucing ini. Mereka kata bukan kucing kawasan sekolah. Mereka kata ada orang buang kucing kat situ. Apa punya lah tak ada otak agaknya orang yang buang anak kucing ni. Ada ke patut buang kat tepi jalan raya besar. Kalau kena gilis dengan lori, mau mati macam tu je. Patutnya buanglah kat tepi kedai makan ke, kat pasar pagi ke. Ulas aku dengan geram. 

Jadi aku ambil keputusan untuk bawa balik ke rumah. Comel kucingnya. 

Ini rupa beliau

Di kakinya dan tangannya seperti dipakaikan stoking

Bila sampai je ke rumah, anak-anak aku suka pula kucing ni. Ketiga-tiga anak aku berkerumun ke kucing ini. Tetapi aku agak susah sikit  nak bela kucing di rumah kuarters kerajaan. Dahlah rumah tingkat 2. Lagipun jika kami pergi bercuti ke, takkan nak tinggalkan kucing ni di rumah. Jadi aku pun ambil keputusan untuk serahkan ke kakak ipar aku untuk dia bela. 

Kelibat anak aku suka dengan kucing ni

Sampai je ke rumah akak ipar aku, anak buah isteri aku ni berminat pula dengan kucing ni. Jadi aku serahkanlah kepada dia untuk dia bela. Lain ceritanya pula anak perempuan aku ni. Dia menangis pula sebab kucing tu diserahkan kepada anak buah isteri aku. 

Ah sudah jadi serba salah pulak aku. haha..

Dia jadi sedih sebab kucing tu diserahkan kepada anak buah isteri aku dan dia akan berjauhan dengan kucing ni. Anak-anak aku ni memang suka dengan kucing. 

Aku pun pujuklah alah nanti kita tengoklah kucing ni nanti ye. 

Harap dia oklah. 


Tuesday, 24 June 2025

Negara Kecil Tuvalu

 


Hampir semua benda kat negara ni cuma ada satu je.

Satu kedai makan.

Satu resort.

Satu kedai telefon.

Satu lapangan terbang.

Satu jalan.

Dan satu jeti.

Pulau kecil yang panjang kurus macam lidi ni bukan calang-calang – inilah negara ke-4 terkecil di dunia, dan sayangnya… makin tahun makin tenggelam.

Selamat datang ke Tuvalu! 

Sebuah negara mini yang terletak jauh nun di tengah Lautan Pasifik – antara Australia dan Hawaii.

Berapa ramai penduduknya?

Tak sampai penuh stadium pun — lebih kurang 11,000 orang je.

Malah, mereka ni layak mohon jadi rakyat New Zealand kalau nak.

Tuvalu ada 9 buah pulau, tapi semuanya sangat rendah.

Bahagian paling tinggi? 4.5 meter je dari paras laut.

Itu pun boleh ukur dengan pembaris sekolah.

Negara ni tak ada kilang besar, tak ada syarikat gergasi.

Ekonomi mereka bergantung pada tiga benda utama:

1. Sewaan domain internet ‘.tv’

2. Bantuan luar negara

3. Kiriman wang dari rakyat Tuvalu yang kerja di luar

Dan nak tahu satu lagi?

Pelancong pun jarang datang — sebab lokasinya yang jauh dan terpencil.

Ada yang nak datang ke sini?


Wednesday, 5 February 2025

Tuah Sudah Dewasa

Banyak kali Tuah tanya bila dia akan dikhatankan. Aku fikir jika dia dah bertanya soalan begitu ini bermakna dia memang dah bersedia untuk dikhatankan dan dia rela hati untuk dikhatankan. 

Jadi aku dengan isteri aku berbincang ntuk Tuah dikhatankan semasa cuti sekolah dan penetapan tarikh yang sesuai untuk dia dikhatankan. Aku pun carilah di Google perkhidmatan khatan yang ditawarkan di klinik swasta sekitar Banting. 

Aku dapat beberapa maklumat penting dari setiap klinik yang aku hubungi. Antaranya dari Poliklinik Annur yang menawarkan perkhidmatan berkhatan dengan bayaran sebanyak RM180 tetapi tarikh yang kosong adalah 4hb Feb 2025. 

Nampaknya jauh sangat tarikhnya. Aku buat anggaran sekurang-kurangnya 2 minggu untuk Tuah sihat sepenuhnya sebelum dia masuk ke darjah 3. 

Aku pun dapat juga maklumat ada satu klinik di Taman Banting Baru iaitu Klinik Dr Faiz yang menawarkan perkhidmatan berkhatan dengan bayaran sebanyak RM200 berserta sijil penghargaan. Berkhatan pun ada sijil penghargaan tau haha. 

Jadi aku pilih tarikh 21hb Januari sebagai tarikh untuk Tuah dikhatankan. Antara sebab aku pilih tarikh tersebut adalah pada 22/1/2025 hingga 23/1/2025 adalah cuti raya cina. Faktor jarak juga aku tekankan sebab jarak antara kuarters tempat kami tinggal tak jauh dengan klinik tersebut berbanding Poliklinik Annur yang jaraknya jauh.  Jadi, bila jaraknya dekat, nak sampai ke rumah pun cepat. Aku pun mohon cuti pada 21hb dan 24hb Januari dengan majikan aku. 

Seminggu kemudian hari-hari dinantikan pun tiba. Aku bawa anak aku berserta kain pelikat. Aku tengok dia rileks je. Ketika masuk ke klinik tersebut, aku diberi taklimat sebelum Tuah dikhatankan. 

Tuah ada tanya boleh atau tidak semasa proses berkhatan tu main game di telefon. Pihak klinik benarkan demi keselesaan pesakit.

Aku pun turut diajak masuk sekali ke dalam bilik rawatan bagi melihat proses berkhatan dijalankan. 

Ngeri dan rasa ngilu juga bila lihat anak aku dikhatankan. Proses berkhatan mengambil masa selama setengah jam. Selepas setengah jam, alhamdullillah Tuah sudah dikhatankan. 

Doktor juga memberi sedikit taklimat berkaitan penjagaan alat kelamin dan dari segi pemakanan, makanlah apa-apa pun. Kalau orang dulu kan ada pantang pasal makanan. Tak boleh makan jenis berminyaklah. Kena makan yang berebus je. Tetapi bila dah doktor bagitau boleh makan apa-apa, aku rasa oklah.

Sampai je ke rumah, dia mengadu sakit kat kelamin dia. Aku urut-urutlah peha dia bagi kurang sikit lenguh-lenguh. Sebab dia mengadu sakit tu sebab ubat bius dah mula hilang. Aku pun bagi dia ubat tahan sakit bagi mengurangkan kesakitan. Akhirnya dia tidur. 

Dalam tempoh penjagaan tu, aku kerap kena cuci alat kelamin dia dengan air khas untuk dressing. Itupun kakak ipar aku bagi sebab dia kerja di Hospital Shah Alam. Sehinggalah tarikh aku posting (5 Feb 2025), keadaan dia dah makin baik. Selama tempoh ni, kena hadap jugalah segala karenah dia. 

Alhamdulillah Tuah sudah jadi orang dewasa. Ada beberapa kepingan gambar untuk tatapan umum


Sebelum


Selepas

Dapat sijil

Terima kasih Klinik Dr Faiz Taman Banting Baru!


Friday, 17 May 2024

Lupa Password



Siapa pernah kena dalam situasi macam ni?

Bila dah reset, masukkan kata laluan baru. Sekali keluar mesej "kata laluan baru tidak boleh sama dengan kata laluan lama"

Ish Ish misteri sungguh

Sunday, 28 April 2024

Hampir Ditipu Terima Pembayaran Secara COD

Aku nak cerita sikit pasal aku hampir kena tipu terima barang pembayaran secara COD.

Aku tak order barang bayaran guna cod. Aku pun ingat-ingat lupa ada ke beli barang guna cod. 

Pagi tadi kurier whatsapp nak hantar barang dan pembayaran secara cod. Bayaran sebanyak RM33. Aku jadi pelik dan tertanya-tanya sebab aku tak order barang pun. Semak akaun shopee. Memang tak ada order pun. 

Terima whatsapp dari runner kurier

Tanya kurier boleh tak bagi gambar parcel yang ada nama penjual tu. Sekurang-kurangnya aku bolehlah ingat aku ada order barang. Kurier kata dah tertindih dengan parcel lain. Dia kata isi parcel seperti baju. 

Aku salin no tracking yang dihantar oleh runner kurier dan aku terkejut sebabnya pembelian dibuat pada hari rabu pukul 10.14 pagi padahal masa itu memang aku tak buat apa-apa pembelian pun dari Shopee. 


aku fikir tak apa. Aku akan tunggu runner kurier tu sampai. Aku tunggu kurier tu hantar dan aku nak semak nama penjual kat parcel tu. Bila semak nama penjual tu, aku tak pernah pun beli barang kat kedai dia. Aku taip nama kedai tu shopee. Nama kedainya Nabwat Almi Store berpandukan nama kedai di parcel. Tak jumpa kedainya di shopee. Buat carian di google dan jumpa NABWAT ALAMI (kurang huruf A pada Alami). Buka semula aplikasi Shopee dan taip nama kedai yang aku cari di Google. 

Alamat seller pada bungkusan 

Tup-tup terus keluar nama kedai. Produk dijual adalah pakaian umrah dan barang-barang lain. Serius memang aku tak pernah langsung pun beli barang kat kedai ni. 

Kedai seller di Shopee

Aku tengok alamat di Google dan alamat di parcel berbeza. Tak tahulah mana yang betul. 

Nama kedai dalam Google

Aku bagitau kat kurier tu, aku tak boleh terima barang ni pasal aku tak order pun. Aku bagi tunjuk sekali bukti yang aku tak order barang ni di aplikasi shopee. Aku bagitau yang ini scam. 

Mujurlah aku tak bayar. Kalau kena kat orang kampung ke, orang tua yang tak tahu apa-apa ke, naya je. Senang betul scammer songlap duit. 

Cuma tertanya-tanyalah macam mana scammer boleh dapat details dari nama, alamat hingga no telefon sekali. 

Jadi yang mana terima barang dan kaedah pembayaran secara cod ni, kena berhati-hati. Sekarang ni scammer dah guna pelbagai cara untuk scam orang. 


Tuesday, 16 January 2024

Saham SCIB dan Leform Terjun Tiruk!

Berlaku sedikit kejutan pada hari ini. 

Saham kaunter Scib dan Leform terus tergolek terjun tiruk. 

Saham Scib awal-awal pagi dah terjun tiruk. Cepat-cepat aku klik jual pegangan aku untuk kaunter ini. Kena ambil untung siap-siap. Saham ini meneruskan kejatuhan sehingga mencapai limit down pada harga 0.835. Gilalah.


Limit Down pada harga 0.835

Cantik batang merah menyala. I is menyampah.

Lain pulak cerita saham Leform. Kaunter Leform ni terjun tiruk bermula pada pukul 3.38 petang pada 16hb Jan 2023. Orang tengah syok-syok tengok portfolio warna hijau, tup-tup terus merah. Mana tak mengelabah. 

Kelam-kabut aku cutloss. Bayangkan dari 0.490 terus terjun sehingga 0.380 (setakat pukul 3.43 petang), aku terus tekan jual. Harga setakat 4.06 petang telah mencecah 0.210. Jika aku tak cutloss awal-awal, memang terbakarlah modal RM500. 

2x5 sama dengan Scib. sebatang merah menyala

Beginilah risiko pelaburan saham. Kerugian tetap ada tetapi perlu adanya trading plan. 


Thursday, 11 January 2024

SCIB Terbang Tinggi

Aku ada beli saham SCIB sebanyak 1400 unit dengan harga seunit 0.910. 

Hari demi hari saham ini terus menunjukkan trend menaik dan terkini pada tarikh 11 Jan 2024, harga telah mencapai RM 1.12. 


Saya akan terus genggam saham ini sehingga mendapat banyak keuntungan. 

Teruskan terbang tinggi SCIB. 

Wednesday, 27 December 2023

Buku Antara Dua Darjat

 

Buku Antara Dua Darjat : Agihan Pendapatan Di Malaysia

Tiga dari empat kaum Bumiputera yang menabung di Amanah Saham Bumiputera hanya mempunyai simpanan kurang dari RM 600 sahaja. Lebih kurang satu dari lima penyimpan di KWSP yang hampir bersara hanya menpunyai simpanan tidak sampai RM 10,000. Jurang pendapatan mash tinggi, dan dijangka akan terus tinggi. Di mana sikapnya, terutamanya di kalangan Bumiputera walau pun pelbagai polisi dilaksanakan dan berpuluh agensi telah ditubuhkan? Adakah kerana kelemahan Dasar Ekonomi Baru? Atau kerana Bumiputera malas, boros, tiada kelulusan tinggi atau pun ada faktor lain? Buku yang ditulis oleh pakar ekonomi muda ini akan menyingkap mengapa jurang pendapatan berlaku dan apakah yang boleh kita lakukan untuk mengatasinya. Kita tidak mahu berada di takuk lama, yang kaya bertambah kaya, dan yang miskin tetaplah begitu.

Ulasan pembaca Goodreads:

Antara Dua Darjat sebenarnya pernah menjadi judul filem arahan almarhum P. Ramlee, terbitan tahun 1960. Buku ini bagaimanapun mempunyai judul yang lebih panjang, Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia.

la bermula dengan versi bahasa Inggeris dengan judul, The Colour of Inequality. Judul asal nampaknya lebih berterus-terang. Tidak dapat dinafikan, membaca dan berbahas tentang buku ini persis menarik benang dalam tepung.

Kandungannya penuh dengan persoalan sensitif bagi kebanyakan orang, jurang darjat antara kaya dan miskin, jurang darjat beberapa status sosio ekonomi dan juga jurang darjat antara kaum-kaum utama di Malaysia.

Sungguhpun negara ini telah melaksanakan banyak dasar ekonomi demi menyantuni ekonomi rakyat menerusi DEB, DPN, DWN dan MEB, jurang pendapatan rakyat terus meningkat daripada RM659/ bulan pada tahun 1970 kepada RM13,240 pada tahun 2016.

Hal ini tentunya bertentangan dengan beberapa literatur yang melabelkan kejayaan khususnya buat dasar-dasar DEB, DPN dan DWN, terutama bila dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain.

Purata pendapatan kaum Cina didapati yang tertinggi berbanding India dan Melayu. Malah turut dinukilkan yang Melayu bukan sekadar miskin harta dengan pendapatan yang relatif lebih rendah bahkan miskin cita-cita!

Yup buku ini memang kelihatan ada unsur diskriminasi dan rasis.

Rasis tak rasis, buku ini memaparkan realiti tentang ketinggalan kaum Melayu juga Bumiputera. Bukan sekadar dalam pendapatan bankan dalam pemilikan syarikat dan hartanah, pengajian tinggi dan pekerjaan.

Pengarang turut membidas tuduhan diskriminasi dalam sektor awam. Pekerjaan dalam sektor swasta adalah sekitar 85% dan di dalamnya wujud diskriminasi; gaji lebih rendah, penangguhan kenaikan pangkat, akses terhad kepada latihan dan penafian peluang pekerjaan (termasuk penguasan Mandarin?).

Bagi pejuang Melayu dan Bumiputera, buku ini wajar dihadami. Bagi ahli politik dan pemimpin (apa jua kaum), buku ini bagaikan suara golongan marhaen, golongan yang berada jurang bawah dalam lanskap ekonomi negara yang makmur ini.

Dicadangkan, ada tambahan perbincangan perbandingan dengan golongan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Kelemahan utama buku adalah apabila ia tidak dibaca, terutama oleh ahli politik, ahli ekonomi dan pentadbir sebagaimana saranan Datuk A. Kadir Jasin dam Prof. Tan Sri Kamal Salih.

Buat pelajar 'Sejarah' di sekolah dan universiti termasuk pelajar 'Hubungan Etnik di Malaysia' dan 'Dinamika Malaysia', tak usahlah hanya fokus kepada jurang darjat akibat dasar 'Pecah dan Perintah' dan dualisme ekonomi oleh pihak kolonial. Kini, jurang darjat lebih banyak disebabkan oleh tangan-tangan kita sendiri; dalam kalangan pemimpin serta pembuat dan pelaksana dasar.

Buat ahli politik, usahlah asyik dengan DEB, DEB, dan DEB, sedangkan wujud DPN, DWN dan MEB di samping beberapa dasar penting seperti Penswastaan. Tingkatlah ilmu, jadikanlah membaca sebagai tabiat biarpun sibuk, dan buku ini wajib dibaca.

Akhir kalam, saya merasai yang pengarang mahu mengakhiri buku ini dengan suatu bentuk muhasabah tentang sikap dan set minda negatif tentang darihal senario jurang status sosio ekonomi yang semakin melebar.

Pengarang antara lain mengutip kata-kata Syed Hussein Al-Attas iaitu 'jadong' (JAHAT + BODOH + SOMBONG). Golongan 'jadong' itu termasuklah orang kaya yang masih mahu menggunakan 'tongkat' dan 'payung' sekali gus menzalimi golongan yang lebih memerlukan.

Selain itu wujud pula golongan yang sering mengharapkan 'tongkat' dan 'payung', yang enggan berubah dan melakukan transformasi diri dari segi pemikiran, sikap dan tindakan. Padahal sebahagian daripada mereka mampu membaca al-Quran dengan baik termasuk ayat yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka" (Ar-Ra'd, 13: 11). 


Thursday, 21 December 2023

Kelahiran Ketiga

Syukur kepada Allah kerana aku telah dikurniakan cahaya mata yang ketiga. Tak sangka aku sudah ada 3 orang anak. Cuma isteri saja masih satu. Haha

Alhamdulillah isteri telah melahirkan bayi lelaki pada 15 Ogos 2023 jam 5.46 pagi dengan kelahiran secara normal. Isteri mengadu sakit perut pada pukul 4 pagi. Jadi aku segera membawa dia ke Wad 1 Hospital Banting. 

Kelahiran anak yang ketiga ini semua tampak mudah. Isteri mudah bersalin. Keluar dari hospital pun cepat. Tak sempat bermalam di wad. Anak kena jaundis pun tak tinggi. Kurang meragam malam-malam. Alhamdulillah syukur pada Allah. 


Saturday, 12 August 2023

Pertama Kali Solat Di Masjid Al-Muttaqin Permatang Pasir

Hari jumaat semalam iaitu tanggal 11 Ogos 2023 merupakan kali pertama aku solat di Masjid Al-Muttaqin, Permatang Pasir. Menariknya aku mengerjakan solat jumaat bersama dengan anak aku, Tuah. 

Sebab aku solat jumaat di sini adalah bagi memudahkan aku hantar Tuah terus ke SRA Permatang Pasir. Jimat masa. 

Kebiasaannya aku mengerjakan solat jumaat di surau Kolej Matrikulasi. Disebabkan minggu lepas solat jumaat bermula pada pukul 2 petang, jadi aku tukar perancangan dengan mengerjakan solat di masjid Permatang Pasir ni. Selama aku hidup di dunia ni, ini merupakan kali pertama aku solat di sini. 

Lokasi masjid ini agak menarik sebab di belakangnya terdapat Bukit Jugra. Jadi boleh feeling dekat kawasan berbukit lah macam tu. Akses nak ke masjid ini pun mudah sebab dekat dengan jalan raya. Terdapat simpang tiga di sini. Jika dari arah Banting, boleh nampak tersengam indah masjid ini walaupun bentuk bangunan masjid ini agak lama. Jika belok ke kiri boleh ke rumah api Bukit Jugra. Nak hiking bolehlah ke situ. Jika belok ke kanan boleh jumpa sekolah permatang pasir dan jalanya boleh tembus ke Kg Sg Buaya, Kg Bandar dan Kg Kurau. 

Rasanya itu sahajalah bebelan aku untuk posting kali ini

Friday, 23 June 2023

Terbeli SahamCloudpoint Di Hari Listing


Saham CLOUDPOINT.

Beli pada harga 0.550 dengan 48 lot (4800 unit) semasa sesi petang hari listing IPO.

Sekali petang tu terus jatuh.

Kalut jugak rasa tapi tabahkan hati untuk hold saja.

2 hari jugaklah saham ni merah je. Hati dah tak keruan.

Nilai kerugian makin tinggi.

Pernah nilai kerugian sampai RM400 tapi cekalkan juga hati.

Jangan cutloss. Biarkan saja. Saya percaya pada syarikat ini.

Akhirnya, hari ini dah breakeven.

Semoga kekal bertahan. 

Saturday, 1 April 2023

Anak Ku Tuah : Pertama Kali Solat Jumaat

Umur Tuah pun dah menjangkau 7 tahun. Dia pun dah mula bersekolah. Sesi pagi dia bersekolah di SK Permatang Pasir. Bagi sesi petang pula, dia bersekolah di SRA Permatang Pasir. 

Jarak antara dua sekolah ini tidak jauh. Perjalanan dari rumah kuarters kedua-dua sekolah ini hanya mengambil masa 5 minit sahaja jika menaiki kereta. Jika menaiki motor, mungkin 7 hingga 10 minit.

Semalam, 31hb Mac 2023. Tuah telah mengerjakan solat jumaat buat pertama kalinya. Kami mengerjakan solat jumaat di Surau di dalam kawasan Kolej Matrikulasi Selangor.

Aku yang bertolak dari tempat kerja aku di Morib terus bergegas ke rumah bagi membawa dia ke Surau bagi mengerjakan solat tersebut. 

Alhamdulillah. Dia telah berjaya mengerjakan solat jumaat. 


Wednesday, 26 October 2022

Beralih Ke eSim. Selamat Tinggal Simkad Fizikal.

 Akhirnya, aku berjaya beralih dari simkad fizikal ke eSim melalui telco Maxis. 


Bagi yang belum tahu fungsi eSim ni adalah fungsi eSim ni sama je dengan simkad fizikal cuma kita dah tak perlu dah nak isi simkad fizikal di tray simkad.

Kita hanya scan saja barkod lepas tu dah boleh pakai dah esim. Simkad lama tu dah boleh buang. Jadi tray simkad tu kosonglah. 

Kalau korang nak masukkan simkad fizikal lain pun boleh je. Boleh isi mana-mana telco pun. Asalkan ada kredit. Kahkah.

Kelebihan eSim adalah korang dah tak perlu dah masukkan simkad fizikal di tray. 

Apa sebab Apple buat macam ni ye?

Sebenarnya ia memudahkan pengguna sebenarnya. Korang tak payah dah menyusahkan diri cari alat sim ejector semata-mata nak tukar simkad. Jimat masa korang. 

Bagaimana nak mohon eSim ni ye?

Macam aku sebagai pengguna setia Maxis ni aku perlu ke Pusat Jualan Maxis untuk mohon eSim. 

Urusan permohonannya sekejap saja. Staff Maxis akan bantu korang untuk daftarkan dan akan dapat eSim masa tu jugak. 

Cuma itulah. Agak leceh sikit. Urusan permohonan eSim ni kena buat kat Maxis Centre. Tak boleh mohon melalui panggilan telefon. 

Kasihan mereka yang dari jauh datang turun ke bandar semata-mata tukar eSim.

Kalau telco lain seperti Yodoo tu mudah saja. Boleh terus buat kat aplikasi Yodoo. 

Untuk performance, setakat ni tiada masalah pun. Nak telefon orang macam biasa pun boleh. 

Welcome eSim. Goodbye physical simcard!

Thursday, 28 July 2022

Buku MALAY SKETCHES Oleh Frank Swettenham Edisi BM

Akhirnya dapat juga aku memiliki buku Malay Sketches Edisi Bahasa Melayu. Tajuk dalam Bahasa Melayu adalah Gelagat & Ragam Orang Melayu.


Ini pandangan belakang buku tersebut. 


Jika buku yang asal ini memang susah nak jumpa. Kalau terjumpa pun harga memang mahal sebab buku rare kan. Aku ada jumpa buku ini dijual di grup Kolektor Buku Semalaysia memang harganya mahal nak mampus. 


Buku ini telah dibuka bidaan di grup tersebut dan harga akhir dibidaan adalah RM650 yang telah berjaya dimenangi oleh seorang ahli dalam grup tersebut. Ternyata buku ini masih ada nilai walaupun kondisi bukunya sudah lapuk. 

Buku rare memang orang akan cari. Tapi harganya memang terlalu mahal. 


Tuesday, 12 April 2022

Buku Kisah-Kisah Gangguan Jin Siri 1

Buku ini sudah lama berada di dalam list Like aku untuk dibeli. Lama juga aku simpan. Kebetulan cara penghantaran buku ini COD (Cash On Delivery) dan aku mendapat baucar percuma penghantaran, maka aku terus membuat pembelian. Menariknya aku dapat Shopee Coins sebanyak 290 coins.

Kabur da. 

Lama juga aku menanti buku ini sampai ke tangan aku. Aku dah tak sabar nak baca sebab aku ini peminat kisah seram benar. Bukan baca novel fiksyen. 

Lama menunggu akhirnya sampai ke tangan aku pada 9/4/2022. Mula baca pada malamnya dan selesai menghabiskan bacaan buku ini pada 11/04/2022. Kena baca cepat sebab ada buku lain lagi nak dibaca. Haha.

Setelah habis membaca buku ini. menurut bacaan aku ini kisah yang dikongsikan oleh penulis amat menarik dan gaya penulisan penulis sangat bagus. 


Kisah dalam buku ini berkaitan gangguan jin yang dialami oleh pesakit Tok Mat dan Tok Mat dibantu oleh Azlan. 

Harapnya ada cetakan untuk siri ke 2. Rasa tak sabar nak baca lagi buku ini. 

Jika korang berminat nak membeli buku ini boleh klik link ini : Belilah


Tuesday, 8 March 2022

Mahathir Di Sebalik Tabir oleh Zainuddin Maidin

 


Buku ini aku beli secara spontan je. Aku ternampak seorang penjual ini memuatnaik gambar buku ini di grup Kolektor Buku2 Semalaysia. Aku terus lock dan buat bayaran. Harga buku ini RM10 tambah kos pos RM8. Jadi jumlahnya RM18.

Komen dalam grup tersebut

Sekarang ini aku tengah dalam mood mencari buku-buku berkaitan Tun Mahathir. Tak kisah buku dari pihak lawan atau buku yang memuji beliau. Asalkan aku dapat baca.

Buku ini buku lama. Bau buku lama ni. Kalau ada masa aku akan baca secara santai. 


Kursani Segenap Bimasakti : Buku Cik Srikandi Yang Paling Tebal Selepas Rentaka Sekalian Bijasura


Alhamdulillah akhirnya aku berjaya memiliki buku ini walaupun hanya buku terpakai. 

Untuk makluman, buku ini tidak dicetak lagi oleh penerbit Write And Brave. Di laman web Writeandbrave, buku ini telah dikeluarkan dari senarai jualan di laman web tersebut. 

Aku telah membuat carian di Google untuk mencari mana-mana marketplace yang menjual buku ini samada baru atau terpakai tetapi hampa semuanya telah out of stock

Buku tulisan Cik Srikandi ini diterbit oleh Terfaktab Media (kini telah ditutup) dan setelah syarikat penerbit ditutup, maka hak terbitan diserahkan kepada WriteAndBrave. 

Pada masa itu aku masih tak beli kerana buku-buku tulisan Cik Srikandi sebelum Kursani Segenap Bimasakti masih belum dibaca. Maka, aku tangguh niat untuk membeli buku tersebut.

Malangnya, buku ini tidak dicetak lagi oleh syarikat penerbit tersebut. Maka, bermulalah pencarian aku di mana-mana grup Facebook, Carousell, Mudah.my tetapi semuanya tiada.

Akhirnya, aku terjumpa satu posting jualan di dalam grup Kolektor Buku2 Semalaysia dimana penjual ini telah memuatnaik satu buku yang menarik mata aku untuk terus lock (untuk kunci buku ini agar orang lain tidak membeli). 

Akhirnya aku berjaya memiliki buku ini walaupun hanya buku terpakai. Kondisinya masih baik. 


Harga dijual oleh penjual ini termasuk kos penghantaran adalah RM46. Biar pun mahal, aku tetap akan membelinya kerana buku ini tidak dicetak lagi oleh penerbit WriteAndBrave (setakat 08 Feb 2022). 

Buku tulisan Cik Srikandi adalah buku paling tebal selepas Rentaka Sekalian Bijasura. Mau termuntah nak habiskan baca buku ini. Apa pun kena perlahan-lahan layan. 

Apa pun pemburuan buku ini akhirnya berjaya. 

Nanti ada masa aku akan baca buku ini. 


Monday, 7 March 2022

Post Pasal Kembara Buku

Bermula pada hari ini, aku akan wujudkan satu posting pasal pencarian buku-buku yang aku nak sangat. Tajuk yang aku letak adalah Kembara Buku. Kembara Buku ni berkaitan pencarian buku yang menjadi buruan aku. 

Boleh jadi sebab buku yang aku buru itu tidak dicetak lagi oleh penerbit atau buku itu adalah buku rare. Sebagai contoh buku 'Dilema Melayu' oleh Dr Mahathir Mohamad. Buku ini susah nak cari. Tak ramai yang akan jual semula buku ini. Berita baiknya, aku berjaya memiliki buku tersebut. Nanti aku cerita di posting lain. 

Ok! Mulakan pemburuan!