Wednesday 27 December 2023

Buku Antara Dua Darjat

 

Buku Antara Dua Darjat : Agihan Pendapatan Di Malaysia

Tiga dari empat kaum Bumiputera yang menabung di Amanah Saham Bumiputera hanya mempunyai simpanan kurang dari RM 600 sahaja. Lebih kurang satu dari lima penyimpan di KWSP yang hampir bersara hanya menpunyai simpanan tidak sampai RM 10,000. Jurang pendapatan mash tinggi, dan dijangka akan terus tinggi. Di mana sikapnya, terutamanya di kalangan Bumiputera walau pun pelbagai polisi dilaksanakan dan berpuluh agensi telah ditubuhkan? Adakah kerana kelemahan Dasar Ekonomi Baru? Atau kerana Bumiputera malas, boros, tiada kelulusan tinggi atau pun ada faktor lain? Buku yang ditulis oleh pakar ekonomi muda ini akan menyingkap mengapa jurang pendapatan berlaku dan apakah yang boleh kita lakukan untuk mengatasinya. Kita tidak mahu berada di takuk lama, yang kaya bertambah kaya, dan yang miskin tetaplah begitu.

Ulasan pembaca Goodreads:

Antara Dua Darjat sebenarnya pernah menjadi judul filem arahan almarhum P. Ramlee, terbitan tahun 1960. Buku ini bagaimanapun mempunyai judul yang lebih panjang, Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia.

la bermula dengan versi bahasa Inggeris dengan judul, The Colour of Inequality. Judul asal nampaknya lebih berterus-terang. Tidak dapat dinafikan, membaca dan berbahas tentang buku ini persis menarik benang dalam tepung.

Kandungannya penuh dengan persoalan sensitif bagi kebanyakan orang, jurang darjat antara kaya dan miskin, jurang darjat beberapa status sosio ekonomi dan juga jurang darjat antara kaum-kaum utama di Malaysia.

Sungguhpun negara ini telah melaksanakan banyak dasar ekonomi demi menyantuni ekonomi rakyat menerusi DEB, DPN, DWN dan MEB, jurang pendapatan rakyat terus meningkat daripada RM659/ bulan pada tahun 1970 kepada RM13,240 pada tahun 2016.

Hal ini tentunya bertentangan dengan beberapa literatur yang melabelkan kejayaan khususnya buat dasar-dasar DEB, DPN dan DWN, terutama bila dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain.

Purata pendapatan kaum Cina didapati yang tertinggi berbanding India dan Melayu. Malah turut dinukilkan yang Melayu bukan sekadar miskin harta dengan pendapatan yang relatif lebih rendah bahkan miskin cita-cita!

Yup buku ini memang kelihatan ada unsur diskriminasi dan rasis.

Rasis tak rasis, buku ini memaparkan realiti tentang ketinggalan kaum Melayu juga Bumiputera. Bukan sekadar dalam pendapatan bankan dalam pemilikan syarikat dan hartanah, pengajian tinggi dan pekerjaan.

Pengarang turut membidas tuduhan diskriminasi dalam sektor awam. Pekerjaan dalam sektor swasta adalah sekitar 85% dan di dalamnya wujud diskriminasi; gaji lebih rendah, penangguhan kenaikan pangkat, akses terhad kepada latihan dan penafian peluang pekerjaan (termasuk penguasan Mandarin?).

Bagi pejuang Melayu dan Bumiputera, buku ini wajar dihadami. Bagi ahli politik dan pemimpin (apa jua kaum), buku ini bagaikan suara golongan marhaen, golongan yang berada jurang bawah dalam lanskap ekonomi negara yang makmur ini.

Dicadangkan, ada tambahan perbincangan perbandingan dengan golongan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Kelemahan utama buku adalah apabila ia tidak dibaca, terutama oleh ahli politik, ahli ekonomi dan pentadbir sebagaimana saranan Datuk A. Kadir Jasin dam Prof. Tan Sri Kamal Salih.

Buat pelajar 'Sejarah' di sekolah dan universiti termasuk pelajar 'Hubungan Etnik di Malaysia' dan 'Dinamika Malaysia', tak usahlah hanya fokus kepada jurang darjat akibat dasar 'Pecah dan Perintah' dan dualisme ekonomi oleh pihak kolonial. Kini, jurang darjat lebih banyak disebabkan oleh tangan-tangan kita sendiri; dalam kalangan pemimpin serta pembuat dan pelaksana dasar.

Buat ahli politik, usahlah asyik dengan DEB, DEB, dan DEB, sedangkan wujud DPN, DWN dan MEB di samping beberapa dasar penting seperti Penswastaan. Tingkatlah ilmu, jadikanlah membaca sebagai tabiat biarpun sibuk, dan buku ini wajib dibaca.

Akhir kalam, saya merasai yang pengarang mahu mengakhiri buku ini dengan suatu bentuk muhasabah tentang sikap dan set minda negatif tentang darihal senario jurang status sosio ekonomi yang semakin melebar.

Pengarang antara lain mengutip kata-kata Syed Hussein Al-Attas iaitu 'jadong' (JAHAT + BODOH + SOMBONG). Golongan 'jadong' itu termasuklah orang kaya yang masih mahu menggunakan 'tongkat' dan 'payung' sekali gus menzalimi golongan yang lebih memerlukan.

Selain itu wujud pula golongan yang sering mengharapkan 'tongkat' dan 'payung', yang enggan berubah dan melakukan transformasi diri dari segi pemikiran, sikap dan tindakan. Padahal sebahagian daripada mereka mampu membaca al-Quran dengan baik termasuk ayat yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka" (Ar-Ra'd, 13: 11). 


Thursday 21 December 2023

Kelahiran Ketiga

Syukur kepada Allah kerana aku telah dikurniakan cahaya mata yang ketiga. Tak sangka aku sudah ada 3 orang anak. Cuma isteri saja masih satu. Haha

Alhamdulillah isteri telah melahirkan bayi lelaki pada 15 Ogos 2023 jam 5.46 pagi dengan kelahiran secara normal. Isteri mengadu sakit perut pada pukul 4 pagi. Jadi aku segera membawa dia ke Wad 1 Hospital Banting. 

Kelahiran anak yang ketiga ini semua tampak mudah. Isteri mudah bersalin. Keluar dari hospital pun cepat. Tak sempat bermalam di wad. Anak kena jaundis pun tak tinggi. Kurang meragam malam-malam. Alhamdulillah syukur pada Allah.