Sunday 7 July 2013

Kereta

Tak pernah aku terfikir aku akan memiliki sebuah kereta. Pernah dulu aku naik bas dan duduk di kerusi terpandang sebuah kereta di traffic light Kesas Highway berdekatan dengan Johan Setia menuju ke Pusat Bandar Klang dan Shah Alam. Aku mencipta sebuah perasaan cemburu yang positif apabila melihat orang lain memiliki kereta. Kataku  dalam hati "jika orang lain boleh memiliki kereta, kenapa tidak aku?". Ya, aku akan cuba memiliki sebuah kereta walau apa pun. Hampir malu aku apabila aku cuba menggengam tangan sambil berkata "CHAIYOK-CHAIYOK". Itulah perasaan cemburu yang positif. Jika ada perasaan cemburu yang negatif, maka dah lama dah aku buat lukisan kat badan kereta tu.

Pernah juga sekali aku terpandang seorang abang berbangsa sama dengan aku, orang asli mengundur kereta Proton Saga dan terus pergi entah ke mana. Dalam hati aku, dia orang asli boleh dapat kerja bagus, kereta bagus kenapa aku tak boleh. Masa itulah aku menetapkan sasaran umur 25 tahun aku mesti memiliki sebuah kereta. Tak kisahlah kereta apa janji dapat kereta kecuali kereta mainan dan kereta sorong.

Pada tahun 2006, semasa aku sambung belajar di sebuah kolej swasta di Banting, aku hanya menaiki bas ke kelas setiap hari. Timbullah kesedaran dalam hati sampai bila aku akan naik bas saja. Pada tahun 2008, aku berjaya memiliki sebuah motor 135LC (hilang selepas 6 bulan pakai.Akan dicerita kemudian) dihadiahkan oleh mak aku. Terima kasih mak. Selepas tamat belajar, aku tekad dalam diri aku mesti mendapat kerja di sektor kerajaan dan hanya sekali pergi temuduga, aku berjaya mendapat kerja kerajaan selepas bermati-matian kerja di Tesco Klang. Masa tu aku berumur 24 tahun. Alhamdulillah. Maknanya sasaran pertama aku berjaya. 

Masuk umur 25 tahun, aku berjaya memiliki sebuah memiliki sebuah kereta Proton Saga berwarna putih. Full-loan. Cuma bayar booking je. Ada kesilapan telah aku lakukan tu iaitu tempoh bayarannya adalah selama 15 tahun tapi oleh kerana aku terlalu inginkan kereta tu, memikirkan kesusahan ibubapa aku, aku terpaksa juga terima. Ini demi kesenangan ibubapa aku. Alhamdullillah jika ibubapa aku sakit, aku dapat hantar dia ke hospital. 

Kereta aku taklah semewah mana. Cukuplah sekadar dapat membawa ibubapa aku pergi kemana-mana. Bak kata orang, ukur baju di badan sendiri. Jika mampu beli kereta mahal, anda boleh beli kerana anda mampu. Apapun kisah ini adalah berdasarkan pengalaman aku. 


No comments:

Post a Comment